SHAH ALAM – Seorang pendaki lelaki maut selepas diserang sawan ketika mendaki bukit di laluan komuniti Setia Alam, hari ini.
Mangsa dikenali Albert Ma Chuan Chiek, 33, yang datang dari Klang dikatakan mendaki bersama seorang rakannya.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 12.43.
“Bomba yang tiba 10 minit kemudian segera melakukan operasi menyelamat dengan jarak mendaki ke lokasi mangsa adalah sekitar 800 meter. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Norazam, mangsa kemudiannya dibawa turun dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.- K!ONLINE