fbpx

Nikmat syukur pemain industri kembali bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INDUSTRI seni kreatif tanah air kembali hidup apabila kerajaan memberi kelonggaran membenarkan aktiviti penggambaran di dalam dan di luar studio bermula 9 September lalu dengan SOP yang ketat,

PENGGIAT industri kreatif tanah air kini mampu menarik nafas lega ekoran kelonggaran kebenaran kerajaan terhadap pembukaan semula sektor industri seni dan kreatif sejak 9 September lalu.

Menerusi kenyataan yang diumumkan kerajaan, persetujuan kelonggaran tertakluk syarat prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 serta kapasiti ruang premis dibenarkan.

Sejak Mei lalu, para pemain industri seni hiburan tempatan tidak kira sama ada pelakon, penyanyi, pengarah sehinggalah kru belakang tabir, menjalani kehidupan seumpama ‘dipenjara’ dan ‘diharamkan’ bekerja mencari rezeki.

Sehingga ada dalam kalangan mereka hilang 100 peratus mata pencarian. Berbulan-bulan tidak beraksi di hadapan kamera atau memegang mikrofon di panggung yang gah, segelintir penghibur tempatan ini seakan-akan ‘ketagih’ untuk beraksi.

SHUHAIMI LUA kini sedang menjalani penggambaran di Kuantan Pahang.

Pelakon seperti Nora Danish misalnya, sanggup bermonolog di hadapan cermin, memainkan apa sahaja watak untuk melepaskan kerinduan terhadap lakonan.

Justeru, apabila kerajaan mengumumkan pembukaan semula sektor industri kreatif berkuat kuasa pada 9 September lalu, rata-rata anak seni kembali sibuk menyambung semula jadual masing-masing yang tergendala selama berbulan-bulan.

Pelakon yang juga pengacara popular, Sherry Alhadad ketika dihubungi Pose berkata, dia menarik nafas lega apabila dibenarkan untuk bekerja walaupun bukan dalam keadaan biasa seperti sebelum ini.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur selepas dibenarkan untuk kembali ‘turun padang’ selepas berbulan-bulan tidak bekerja.

“Orang industri seperti saya tidak ada gaji bulanan yang tetap. Jadi apabila boleh kembali bekerja, dapatlah kami menjana semula pendapatan yang terjejas.

“Paling kasihan sebenarnya terhadap pekerja di belakang tabir dan kru produksi sebab mereka sangat terjejas,” katanya.

Sherry atau nama lengkapnya Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 37, berkata, dia akan kembali menyambung kerjanya yang tergendala bermula Oktober nanti dan mengakui tidak sabar untuk beraksi di hadapan kamera.

SHERRY

“Saya akan menyambung semula penggambaran drama The Maid musim kedua. Sekarang adalah tugasan untuk menyelesaikan kerja yang tertangguh.

“Selain itu, program All Together Now Malaysia juga telah kembali ditayangkan di televisyen selepas ‘digantung’ seketika. Untuk program itu sebenarnya kami sudah selesai menjalani penggambaran untuk semua episod sejak Mac lalu,” katanya.

Penyanyi Aina Abdul pula meluahkan rasa syukur dan gembira kerana boleh kembali berkarya. Sebagai anak seni, 80 peratus kerja dilakukan di luar studio.

“Netizen mungkin tidak tahu sejauh mana perjalanan anak seni dan kerja yang kami lakukan. Bekerja dalam sektor industri kreatif memang mengharapkan untuk keluar bekerja. Ini mata pencarian kami,” katanya.

Sebagai salah seorang pemain industri hiburan tempatan, Aina sangat berharap agar perjalanan karier semua anak seni tidak terkubur begitu sahaja.

“Ramai yang berputus asa dan terpaksa meninggalkan kerjaya mereka sebelum ini dengan melakukan pekerjaan lain demi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Jadi diharapkan apabila industri kreatif dibuka semula, mereka yang terkesan boleh kembali ke bidang masing-masing,” ujarnya.

Sebaik sahaja kelonggaran untuk pemain industri seni kembali bekerja diumumkan, Aina tanpa berlengah terus menggerakkan perancangan bagi tahun 2022 dan telah menyiapkan beberapa buah lagu untuk peminat kesayangannya.

AINA ABDUL

Pengarah terkenal, Shuhaimi Lua yang kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama di Kuantan, Pahang, juga berbesar hati dan gembira apabila boleh kembali bekerja.

“Alhamdulillah. Sekarang ini pun saya berada di Kuantan, Pahang untuk menjalani penggambaran sebuah drama 20 episod untuk TV9 bertajuk Oh My Hantaran.

“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Anuar Musa kerana memberi membenarkan orang industri seperti saya untuk kembali bekerja.

“Kebenaran ini diibaratkan umpama ‘nafas’ untuk warga penggiat industri seni kreatif kembali ‘bernyawa’ selepas berbulan-bulan kami ‘tenggelam,” katanya.

Dalam pada itu, Shuhaimi memberitahu, dia akan sentiasa mengikut saranan yang dikeluarkan oleh kerajaan iaitu hanya akan bekerja dengan individu yang telah lengkap mengambil dua dos vaksin sahaja.

“Kepada yang ingin bekerja dengan saya, pastikan anda sudah lengkap dua dos vaksinasi dan telah melakukan ujian kendiri Covid-19.

“Sejujurnya saya paranoid dengan keadaan hari ini. Tetapi mahu atau tidak, saya terpaksa mengharunginya. Ibarat nelayan yang terpaksa mencari rezeki di lautan bergelombang. Biarpun berisiko, terpaksa diharungi juga,” katanya.

Bagi aktor versatil Azhan Rani yang kini berada di Terengganu dan baharu memulakan penggambaran untuk naskah terbaharunya, tiada apa yang paling menggembirakan selain dapat kembali bernafas menerusi lakonan.

AZHAN RANI

Katanya, kebenaran dan kelonggaran yang diberikan kerajaan buat sektor kreatif seakan-akan satu rezeki dan hadiah bermakna buat semua yang bergelar anak seni.

“Lama kita tak boleh turun ke set. Bukan satu dua minggu tetapi berbulan-bulan. Pendapatan kami sebagai anak seni bergantung kepada itu sajalah. Ada kerja dan tawaran, maka adalah gaji. Hutang dan komitmen tetap berjalan.

“Jadi bila sudah dibenarkan untuk kami kembali ke set untuk kerja-kerja hakiki, tiada apa yang dapat diungkapkan daripada ucapan syukur,” katanya yang akan berada di Besut, Terengganu sehingga Ahad (hari ini) bagi menjayakan penggambaran drama Keluarga Untuk Disewa arahan Raja Mukhriz.

Tambah Azhan atau nama lengkapnya Azhan Abdul Rani, 45, dia seakan-akan trauma setiap kali kerajaan mengumumkan sesuatu, terutama yang berkait rapat dengan pelaksanaan tempoh perintah kawalan pergerakan.

Pesannya buat semua anak seni yang sudah memulakan kerja dan turun ke padang mencari rezeki, patuhilah segala SOP yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI