LUMUT – Seorang wanita warga Itali yang juga kru sebuah kapal dagang yang berada di perairan utara Banda Acheh, Indonesia diberi bantuan pemindahan perubatan oleh Maritim Malaysia (APMM) Perak pagi semalam.
Kru tersebut, Corina Savoschin, 22, berasal dari Rom, mengadu sakit perut kronik disyaki menghidap apendiks memaksa pemilik kapal menghubungi Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi untuk meminta bantuan.
Pengarah APMM negeri Perak, Kepten Maritim Sharizan Raman, berkata MRSC Langkawi menerima aduan daripada syarikat kapal yang berpusat di Singapura kira-kira pukul 2 petang kelmarin meminta bantuan bagi membawa wanita itu ke hospital terdekat.
“Berdasarkan maklumat awal, lokasi Kapal MV Drenec itu dimaklumkan berada kira-kira 190 batu nautika barat laut Pulau Langkawi.
“Ejen kapal tersebut yang berada di sini mencadangkan untuk mendaratkan mangsa di Malaysia berikutan kemudahan fasiliti hospital yang lebih baik,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Shahrizan, wanita tersebut dipindahkan melalui titik pertemuan aset APMM bersama kapal tangki terbabit pada kedudukan empat batu nautika utara Pulau Pangkor pukul 8.30 pagi semalam.
Jelasnya, pemindahan mangsa menggunakan kaedah ‘bakul pemindah’ (transfer bucket) milik kapal dagang tersebut ke kapal ronda KM Penggalang 39 sebelum dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan kira-kira pukul11 pagi semalam.
Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Pantai Seri Manjung Perak bagi rawatan lanjut.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929