PUTRAJAYA – Angka pesakit sembuh daripada Covid-19 mencatatkan sebanyak 23,469 kes semalam sekali gus melebihi jumlah pesakit baharu harian yang merekodkan sebanyak 14,954 kes termasuk 11 daripadanya kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah pesakit sembuh daripada Covid-19 di seluruh negara sebanyak 1,863,922 kes manakala, 2,097,830 kes kumulatif Covid-19 dilaporkan sehingga kini.
“Dalam masa sama, terdapat 1,194 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi manakala, 665 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.
“Mengikut pecahan kes harian yang dilaporkan, sebanyak 243 kes (1.6 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala, 14,711 kes (98.4 peratus) kategori satu dan dua,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini. – K! ONLINE