PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan Covid-19.
“Keutamaan pemberian dos ketiga ini akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.
“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ismail Sabri berkata, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga tersebut.
Menurut beliau, kesemua perincian berhubung pelaksanaan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929