JAKARTA – Seorang jurusolek lelaki di Indonesia menjadi tular apabila bersikap profesional dengan menata rias bekas tunangnya di majlis perkahwinan wanita itu, lapor laman berita Suara.com, kelmarin.
Menerusi rakaman satu video di TikTok, lelaki tersebut kelihatan tenang dan masih mampu tersenyum ketika menyolek bekas tunangnya itu.
“Kedua-dua ini pernah bercinta tetapi jodoh mereka tidak panjang lalu putus di tengah jalan.
“Si lelaki sangat tabah apabila mampu menyiapkan solekan bekas tunang yang mahu berkahwin dengan orang lain demi sebuah pekerjaan,” tulis keterangan video.
Ketabahan lelaki itu menerima pujian netizen yang menganggap dia seorang yang profesional dan menerima takdir dengan hati terbuka.
“Apa rahsia anda begitu tenang? Saya sendiri sudah empat tahun berpisah masih tidak mampu berhadapan dengan bekas kekasih,” tulis seorang pengguna media sosial. – AGENSI