GEORGE TOWN – Pembinaan Hospital Medan bagi fasiliti tambahan perawatan pesakit Covid-19 di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini yang dimulakan pada Khamis lalu kini siap 95 peratus.
Panglima Dua Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, beliau berpuas hati dengan perkembangan pembinaan Hospital Medan di pekarangan HPP itu yang dibina oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Dari pihak ATM, kita telah capai 95 peratus siap dan pada masa ini kerja-kerja teknikal dan mekanikal masih lagi berjalan di sini.
“Kami di pihak ATM berharap pembinaan Hospital Medan di HPP ini dapat membantu rakyat Pulau Pinang berjuang melawan Covid-19,” katanya selepas meninjau pembinaan Hospital Medan di HPP di sini hari ini.
Operasi pembinaan Hospital Medan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 hari dan sesi ujian penuh (dry run) dijangka pada Khamis depan.
Hospital Medan yang seluas 2,400 meter persegi itu akan dilengkapkan dengan empat katil ICU dan 96 katil wad yang dilengkapi sumber oksigen. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929