BAGI masyarakat di Desa Alasmalang, daerah Singojuruh, di Banyuwangi, Jawa Timur, Indonesia, mereka memiliki upacara tradisi khusus untuk menghalau wabak penyakit.
Tradisi yang dikenali sebagai Kebo-Keboan itu telah diamalkan sejak sekian lama dan masih diteruskan sehingga hari ini.
Dalam istilah bahasa Indonesia moden, ia bermaksud kerbau jadian.
Menurut laporan portal Indonesia, merdeka. com, dalam upacara tradisi itu, kerbau langsung tidak digunakan.
Sebaliknya, Kebo-Keboan adalah sekumpulan orang yang berdandan menyerupai kerbau.
Tradisi itu mempunyai cerita tersendiri sejak dahulu lagi dan masih dipegang teguh oleh generasi masa kini di desa berkenaan.
Menurut satu sumber, tradisi itu dikatakan bermula apabila satu wabak menyerang manusia dan tanaman di desa tersebut satu ketika dahulu.
Wabak itu menyebabkan penyakit misteri sehingga sejumlah penduduk mengalami kelaparan dan meninggal dunia.
Seorang warga tua desa tersebut bernama Mbah Kanti telah pergi ke bukit berdekatan untuk bertafakur.
Ia bagi mendapatkan bimbingan alam ghaib untuk keluar daripada wabak berkenaan.
Mbah Kanti kemudian mendapat petunjuk bahawa penduduk perlu melaksanakan ritual adat khusus iaitu Kebo-Keboan untuk keselamatan desa itu.
Ritual itu dikatakan bagi memuliakan Dewi Sri sebagai simbol kemakmuran dan keselamatan.
Setelah ritual itu dilakukan, wabak penyakit yang menyerang tiba-tiba hilang.
Sejak itu, upacara ritual Kebo-Keboan diadakan setiap tahun dan dilakukan pada hari Ahad antara satu hingga 10 hari dalam bulan Suro mengikut kalender Jawa.
Hari Ahad dipilih kerana pada hari itu, masyarakat tidak bekerja dan pemilihan bulan Suro dibuat kerana ia dianggap suci.
Seminggu sebelum ritual, penduduk melakukan aktiviti membersihkan persekitaran kediaman serta kebun.
Sehari sebelum upacara berlangsung pula, para ibu berkumpul untuk menyediakan sajian khusus sebagai persembahan kepada Dewi Sri.
Pada sebelah malamnya, pemuda desa ditugaskan untuk menanam tanaman sekunder seperti tebu, ubi kayu dan lain-lain.
Ia ditanam sepanjang jalan desa dan mereka juga diperlukan menyiapkan empangan untuk mengairi tanaman berkenaan.
Upacara ritual itu bermula pada pukul 8 pagi dan majlis dimulakan dengan bacaan mantera dan makan hidangan tumpeng iaitu sejenis hidangan nasi bersama lauk dalam bentuk kon.
Sebanyak 12 kon disediakan dalam hidangan itu yang mewakili kitaran kehidupan manusia iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam.
Setelah selesai, acara kemuncak disebut ider bumi dilakukan.
Ketika itu, peserta yang berdandan seperti kerbau melakukan perbarisan menuju ke sawah.
Dalam perbarisan itu, terdapat seorang wanita berpakaian seperti puteri dalam cerita dongeng rakyat yang melambangkan Dewi Sri turut serta dengan membawa biji padi.
Wanita itu duduk dalam pedati khas dan ditarik oleh beberapa orang yang menjadi ‘kerbau jadian’.
Sebelum menuju ke sawah, mereka terlebih dahulu singgah di empangan yang dibina itu untuk menyaksikan bagaimana air mengalir untuk mengairi tanaman.
Dalam pada itu, orang yang menjadi kerbau jadian dipilih sendiri oleh pemimpin adat dan bilangannya sama setiap tahun.
Mereka yang menjadi ‘kerbau’ memakai tanduk dan menutup seluruh tubuh dengan cairan hitam yang dihasilkan daripada campuran minyak dan arang.
Ketika tiba di sawah, tingkah laku mereka perlu sama dengan haiwan sebenar iaitu membajak sawah dan berkubang dalam lumpur.
Dewi Sri akan menyemai benih padi di sawah dan ia diyakini mampu menghalau wabak, di samping membawa keberuntungan dan keberkatan kepada penduduk desa.