PONTIAN – Usia muda bukanlah penghalang buat seorang pemuda berusia 21 tahun untuk menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan makanan dengan menjadikan sajian nasi ayam gepuk Pak Gembus yang dikatakan berasal dari Jogjakarta, Indonesia sebagai inspirasi.
Muhammad Adam Harith Hisham berkata, dia tekad dan memberanikan diri untuk terlibat secara langsung dalam perniagaan makanan apabila membuka premis dikenali The Rumah Cafe.
Pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari sebuah kolej swasta itu memulakan bisnes di hadapan rumah keluarganya yang terletak di Jalan Parit Ismail, Kampung Parit Pinang, Benut di sini.
“Selepas habis belajar tahun lalu, saya mencari idea untuk memulakan kerjaya sebenar dalam hidup, macam-macam saya fikir sehinggalah idea untuk buka perniagaan berasaskan makanan dan minuman.
“Alhamdullillah, Allah SWT permudahkan segala urusan saya dan sejak Julai lalu, saya dapat membuka kedai dengan modal permulaan sebanyak RM25,000,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurut Muhammad Adam, keistimewaan nasi ayam gepuk ini adalah sambal yang dibuat daripada lada kampung, lada Vietnam, kacang tanah goreng, kacang gajus yang digoreng selain bahan-bahan yang lain.
Sementara ayamnya perlu diperap semalaman menggunakan rempah ratus istimewa sebelum digoreng panas dan dihidangkan bersama nasi panas, sup serta sedikit ulam-ulaman.
Tambah Muhammad Adam lagi, setelah beroperasi hampir tiga bulan, sambutan yang diterima daripada penduduk tempatan dan bukan sahaja di kawasan Benut, malah dari Rengit, Pontian dan Simpang Renggam.
“Walaupun belum beroperasi secara makan di kedai atau ‘dine-in’, tetapi ramai yang membeli bungkus untuk dibawa pulang. Sehari antara 70 hingga 100 bungkus dapat dijual,” katanya.
Jelasnya, The Rumah Cafe dibuka setiap hari bermula pukul 11 pagi hingga 6.30 petang kecuali ditutup pada hari Jumaat.