LONDON – Penjaga gol Manchester United, David De Gea menjadi wira pasukan itu selepas menyelamatkan sepakan penalti pada minit-minit akhir bagi membantu pasukannya menang 2-1 ke atas West Ham United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London sebentar tadi.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer terus memberikan tekanan kepada pendahulu liga, Liverpool selepas berkongsi 13 mata.
Pada perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan menampilkan aksi seimbang pada 20 minit pertama apabila saling berbalas serangan bagi menguji kekebalan benteng pertahanan masing-masing.
Selepas beberapa kali cuba menembusi pintu gol United, pasukan tuan rumah akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-30 selepas percubaan Said Benrahma terkena Raphael Varane sebelum menerjah masuk ke gawang.
Bagaimanapun, kegembiraan The Hammers tidak kekal lama apabila penyerang berbisa United, Cristiano Ronaldo menyamakan kedudukan pada minit ke-35 selepas menolak masuk bola muntah yang diselamatkan penjaga gol West Ham, Lukasz Fabianski.
Bersambung separuh masa kedua, Ronaldo hampir meletakkan United di depan selepas menerima hantaran Bruno Fernandes, namun Fabianski bertindak cemerlang bagi menafikan gol kedua pasukan pelawat.
Aksi kedua-dua pasukan selepas waktu rehat dilihat agak longlai apabila masing-masing dilihat kurang melakukan percubaan-percubaan berbahaya ke arah pintu gol.
Kemudian, pemain gantian, Jesse Lingard memastikan The Red Devils mendahului 2-1 selepas percubaan menarik yang dilakukan pada minit ke-88 gagal diselamatkan Fabianski.
Ketika perlawanan memasuki masa tambahan, kem United cemas seketika apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada West Ham selepas Luke Shaw didakwa menampan bola menggunakan tangan.
Bagaimanapun, De Gea bertindak cemerlang apabila bijak membaca arah sepakan yang dilakukan Mark Noble, sekali gus memastikan United pulang ke Old Trafford dengan tiga mata. – AGENSI