PARIS – Ketua Jurulatih Paris Saint-Germain, Mauricio Pochettino meminta semua pihak bersabar dalam usaha beliau membentuk pasukan yang serasi selepas mereka mendapatkan ramai pemain bintang pada jendela perpindahan lalu.
Keputusan seri 1-1 menentang Club Brugge pada aksi Liga Juara-Juara Khamis lalu menyebabkan PSG dan Pochettino dikritik hebat oleh media di Perancis, malah aksi trio sensasi, Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe (MNM) yang pertama kali diturunkan bersama sangat mengecewakan.
“Kami perlu menunjukkan peningkatan dan itu adalah perkara yang kami sedang lakukan. Pasukan ini memiliki pemain yang menakjubkan tetapi kami juga perlukan keseimbangan.
“Kami perlukan pemain yang kreatif di bahagian serangan tetapi benteng pertahanan kami juga perlu lebih kukuh. Kami hanya perlukan sedikit lagi masa untuk memastikan PSG mampu mendominasi Perancis dan Eropah,” kata Pochettino.
Aksi menentang Brugge tempoh hari menyaksikan PSG tidak boleh terlalu meletakkan harapan kepada trio sensasi berkenaan apabila mereka gagal menjaringkan sebarang gol sebaliknya Ander Herrera berjaya memberikan mereka jaringan.
Ketika ini PSG sedang memberikan tumpuan kepada aksi Ligue 1 apabila dijadual menentang Olympique Lyon yang sudah berikrar mahu melakukan kejutan ke atas skuad yang dikenali sebagai ‘Galacticos Baharu’ itu.
Bagi Pochettino, beliau tidak mempunyai pilihan kecuali meraih tiga mata pada aksi itu atau meletakkan masa depannya sebagai pertaruhan. – AGENSI