GUA MUSANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menjalankan sebanyak 66 penerbangan sempena program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) di kampung pedalaman Orang Asli di negeri ini.
Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, program selama lima hari berakhir semalam itu melibatkan penerbangan selama 67 jam.
Katanya, sebanyak lima helikopter digunakan dalam program itu bagi operasi untuk mengambil dan menghantar petugas Kementerian Kesihatan di lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Outreach Vaksinasi Orang Asli.
“Kita menggunakan dua helikopter jenis Agusta Westland 189 (AW189) selain sebuah helikopter Mi-17-IV, AW139 dan Agusta 109E (A109E).
“Tumpuan operasi itu adalah di pusat penempatan Orang Asli di Pos Balar, Pos Bihai, Pos Simpor, Pos Belatim, Pos Hau, Pos Gob dan Pos Pasik. Operasi ini berpusat di Padang Pusat Sivik Gua Musang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929