KUALA SELANGOR – Hujan lebat berterusan mengakibatkan seramai 48 penduduk Kampung Rantau Panjang di sini, terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir setinggi satu meter hari ini.
Semua mangsa terdiri daripada 16 keluarga itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang bermula pukul 12.55 tengah hari tadi.
Pemangku Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, kesemua mangsa terdiri daripada 29 lelaki dan wanita dewasa serta enam warga emas.
“Selain itu, mangsa banjir juga melibatkan 11 kanak-kanak, seorang bayi lelaki dan wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan operasi pemindahan itu disertai Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau yang juga Seketariat Pengurusan Bencana daerah berkata, keadaan masih terkawal dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini selain pemantauan akan terus dijalankan bagi memastikan paras air di kawasan itu surut sepenuhnya. – K! ONLINE