fbpx

[VIDEO] Shuib umum berehat seketika dari dunia hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHUIB kini sibuk dengan urusan anak dan memantau urusan perniagaan hanya dari rumah.

PETALING JAYA – Selepas pemergiaan isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah, pelawak Shuib mengambil keputusan untuk berehat daripada sebarang program hiburan buat sementara waktu.

Ujarnya, keputusan tersebut diambil susulan jadual hariannya yang kini sudah berubah 100 peratus selepas isterinya meninggal dunia pada 9 Ogos lalu.

“Sekarang, semuanya berubah termasuklah jadual harian saya termasuklah selepas Ayash Affan pulang ke rumah dan dia memerlukan penjagaan rapi memandangkan masih dalam tempoh pramatang.

“Berehat yang saya maksudnya bukannya berhenti tetapi tidak terlibat dengan sebarang program buat sementara waktu,” kata pemilik nama penuh Shahmira Muhamad itu.

Shuib berkata demikian selepas majlis bacaan Yasin sempena 40 hari pemergian Allahyarham Siti Sarah malam tadi.

Tambah bekas penyampai radio Hot FM itu, dalam tempoh ‘berehat’ tersebut, dia juga masih dalam fasa untuk membiasakan diri dengan tanggungjawab sebagai bapa tunggal kepada empat orang anaknya.

Bahkan, dia juga sempat berseloroh apabila terasa pelik dirinya kini memegang gelaran bapa tunggal.

“Pelik pula dengan gelaran tersebut tetapi inilah yang saya jalani. Penggantungan anak-anak sekarang sudah beralih 100 peratus kepada saya sejak ibu mereka meninggal dunia.

“Jadi, untuk laksanakan semua ini, ada baiknya saya fokus dulu dengan keadaan di rumah bagi memastikan kehidupan dan pelajaran anak-anak terjaga,” katanya lagi.

Berkaitan perniagaan, Shuib bersyukur kerana pihak pengurusan syarikatnya sangat memahami situasi dan dia hanya memantau pernigaannya dari rumah sahaja.

“Alhamdulillah mereka sangat faham dengan situasi saya sekarang.

“Syukur rezeki yang Allah beri melimpah-limpah,” ujarnya.

Untuk rekod, Shuib kini menjaga empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan Ayash selepas pemergiaan isteri tercinta pada 9 Ogos lalu.

Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, Kuala Lumpur akibat Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI