JAKARTA – Biarpun suami yang disayangi telah pergi buat selama-lamanya, selebriti terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari tidak lupa untuk mengabadikan ucapan dan penghargaan buat Allahyarham Ashraf Sinclair bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-42 tahun hari ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Bunga atau lebih mesra disapa BCL berkongsi sekeping gambar bersama arwah suaminya beserta ucapan istimewa untuk lelaki yang dikahwininya selama 12 tahun itu.
Dalam perkongsian tersebut, BCL menyampaikan pesan manis yang begitu bermakna untuk arwah suaminya dan menegaskan bahawa walaupun lelaki itu telah ‘pergi’, dia tidak pernah hilang dalam hatinya.
“Hi kamu. Di hari istimewa ini, saya ingin mengatakan ucapan terima kasih untuk segala-galanya. Kamu akan selalu menjadi sebahagian daripada hidup saya dan sentiasa ada dalam hati. Selamat hari jadi sayang,” tulis BCL.
Merujuk gambar yang dikongsikan pelantun lagu Cinta Sejati itu, kelihatan Ashraf begitu tampan menggayakan baju-T tanpa kolar berwarna hitam dengan perkataan ‘legend’, manakala BCL pula mengenakan baju berwarna putih. Kedua-dua pasangan itu turut mengenakan kaca mata hitam sebagai pelengkap gaya mereka.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian dalam kalangan beberapa rakan selebriti yang turut meninggalkan ucapan buat BCL dan arwah Ashraf.
“Anda berdua adalah legenda. Al-Fatihah,” ujar pelakon dan juga penyanyi Acha Septriasa.
“Semoga kamu kuat,” komen Didiet Maulana.
Untuk rekod, BCL mendirikan rumah tangga bersama Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohamed Sinclair pada 8 November 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Noah Aidan Sinclair, 11.
Ashraf meninggal secara mengejut pada 18 Februari tahun lalu akibat serangan jantung sekitar pukul 4 pagi di rumahnya di Pejaten Barat, Jakarta Selatan, Indonesia. Selepas lebih setahun kematian suami, BCL sempat digosipkan menjalin hubungan istimewa dengan Ariel Noah. -K! ONLINE