PUTRAJAYA – Seorang individu disahkan positif Covid-19 melalui ujian RTK-Ag di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas saringan dijalankan melibatkan penumpang yang mahu ke Langkawi hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif tersebut didapati berada dalam kategori satu dan telah diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) untuk menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari.
Menurutnya, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, seramai 2,507 individu disaring melalui Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi melibatkan 2,326 individu menjalani saringan di lapangan terbang dan 181 individu di Jeti Kuala Perlis.
“Bagi jenis ujian yang dijalankan, seramai 2,481 individu menjalani ujian Covid-19 iaitu 2,468 RTK-Ag dan 13 RTPCR, manakala 26 kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah dikecualikan menjalani ujian Covid-19.
“Daripada 2,507 individu yang disaring, seramai 2,506 individu diluluskan untuk meneruskan perjalanan ke Langkawi iaitu 2,325 melalui kapal terbang dan 181 melalui feri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan mengingatkan masyarakat untuk terus mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dalam apa keadaan sekali pun bagi menjaga keselamatan diri, keluarga, dan masyarakat sekeliling. – K! ONLINE