fbpx

Rona natural Moden Boho bangkit seri kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAS dan tenang. Hanya itu yang mampu diungkapkan tatkala melihat dekorasi rumah berkembar satu tingkat milik pasangan suami isteri, Siti Aisyah Ahmad dan Mohammad Mokhtie Ahmad Najid.

Susun aturnya yang ringkas dan kemas dengan palitan rona-rona natural membangkitkan suasana malar segar.

“Sejak kecil lagi saya diajar ibu untuk memastikan rumah sentiasa kemas. Jadi saya memang suka benda-benda yang kemas dan cantik.

“Tahun 2018, saya mula berjinak-jinak dengan menghias rumah dan bermula dengan konsep monokrom hitam putih. Pada waktu itu, saya turut selitkan dekorasi dengan elemen pokok-pokok.

“Bagaimanapun, ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, saya mula menukar dekorasi kediaman ini kepada konsep Moden Boho atau dikenali juga dengan gaya Bohemian,” katanya.

Berkongsi kisah menurutnya, pandemik Covid-19 yang mana individu disarankan untuk sentiasa berada di rumah, kediaman yang cantik dan
bersih sememangnya merupakan antara keperluan utama.

Warna natural bangkitkan suasanan malar segar.

Ini kerana, selain menjadi ruang untuk berteduh, kediaman itu jugalah digunakan untuk bekerja setiap hari.

Justeru, salah satu kaedah untuk mengurangkan tekanan adalah dengan kediaman yang tersusun kemas dan indah, tetapi dilakukan mengikut cita rasa individu itu sendiri.

“Saya lebih sukakan aksesori dan hiasan ringkas, tetapi ia tidaklah terlalu minimalis, tidak terlalu berat dan sekadar sedap mata memandang.

“Ketika awal pindah ke sini, saya langsung tidak buat sebarang pengubahsuaian. Tetapi awal tahun lalu saya dan suami mengambil keputusan untuk membuat sedikit pengubahsuaian di kediaman ini,” ceritanya.

Biarpun hanya meletakkan aksesori yang minimal, namun ia tetap berjaya membangkitkan seri kediaman tersebut.

Menjadikan Pinterest sebagai sumber inspirasi, Siti Aisyah mengambil masa selama tiga bulan untuk menyempurnakan pengubahsuaian itu.

Tidak menggunakan sebarang pereka hiasan dalaman, kesemua dekorasi merupakan sentuhan sepenuhnya Siti Aisyah hasil garapan daripada pembacaan dan perkongsian gambar yang dilihatnya di laman sosial.

Katanya, dekorasi sendiri lebih memberikan kepuasan hati kerana berpeluang terlibat dari awal sehingga akhir dalam mengekspresikan idea
diimpikan.

Pada dapur, rona hitam yang menjadi warna kegemaran Siti Aisyah digunakan.

Justeru, apabila hasilnya indah dan sempurna, ia membuatkan individu tersebut bertambah semangat untuk membuat dekorasi.

Menggunakan rona tanah dan warna warna lembut, tidak hairanlah jika keseluruhan kediaman tampak begitu tenang dan malar segar.

“Penggunaan warna mestilah tidak terlalu banyak dan kita perlu memastikan ia ‘serasi’ antara satu sama lain.

“Saya gemar menggunakan rona tanah kerana ia bukan sahaja menarik, tetapi menampakkan ruang lebih tenang dan luas.

“Begitupun, kediaman ini menggunakan dua tona warna yang mana bahagian ruang tamu menggunakan warna tanah, warna lembut dan bahagian dinding dibiar menggunakan rona cerah seperti krim.

“Pada bahagian dapur pula, saya menggunakan rona hitam yang menjadi warna kegemaran saya. Berbeza dengan ruang tamu, bahagian ini saya mengetengahkan konsep industrial,” terangnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI