BONN, Jerman – Perkhidmatan Pemantauan Atmosfera Copernicus Kesatuan Eropah (ECMWF) mendedahkan saiz lubang lapisan ozon yang terbentuk setiap tahun di wilayah kutub selatan kini lebih besar dari benua Antartika, lapor laman berita Wionews, semalam.
Lapisan itu dilaporkan semakin menipis dan membentuk lubang di Antartika ketika musim semi hemisfera selatan iaitu dari bulan Ogos hingga Oktober.
Lubang itu mencapai ukuran terbesar antara pertengahan September dan pertengahan Oktober.
“Awal tahun ini, pembentukan lubang di lapisan ozon adalah seperti yang dijangka.
“Namun begitu, ramalan terkini menunjukkan bahawa pembentukan lubang ini menjadi lebih besar daripada biasa,” kata Pengarah Copernicus, Vincent-Henri Peuch.
Pembentukan lubang itu biasanya disebabkan oleh bahan kimia seperti klorin dan bromin yang berpindah ke stratosfera lalu menimbulkan reaksi pemangkin semasa musim sejuk Antartika.
Lubang ozon berkaitan dengan pusaran kutub Antartika yang merupakan kumpulan udara sejuk yang berpusing yang bergerak di sekitar Bumi.
Lapisan ozon melindungi Bumi dari pancaran matahari yang berbahaya namun lapisan pelindung ini terancam oleh pencemaran industri dan udara yang semakin berleluasa. – Agensi