KUANTAN – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah menjalankan kajian pengumpulan maklumat dan data inventori sesar aktif serta zon yang terdedah dengan kejadian gempa bumi di seluruh negara termasuk kawasan Bukit Tinggi dan Janda Baik di Bentong.
Menurut kenyataan JMG Pahang, pihaknya juga telah melakukan pemantauan secara berkala seterusnya menilai bahaya sesar aktif dan gempa bumi bagi mengurangkan kesan terhadap pembangunan dan persekitaran.
“Semenanjung Malaysia secara rantau terdedah kepada ancaman bahaya geologi gempa bumi, walaupun gempa bumi yang berlaku hanya berskala lemah hingga sederhana tetapi kesan dan akibat secara jangka panjang tidak wajar diambil remeh oleh masyarakat.
“Langkah-langkah mitigasi awal perlu dijalankan bagi mengurangkan risiko kerugian dan kemalangan jiwa seterusnya membina masyarakat yang berdaya tahan dan mampan,” katanya di sini semalam.
Kosmo! pada 11 September lalu melaporkan kawasan tanah tinggi di Janda Baik dan Bukit Tinggi di Bentong terdedah kepada ancaman tanah runtuh yang berpunca daripada gempa bumi susulan pengaktifan semula garis sesar Bukit Tinggi sejak 2007.
Pengaktifan semula garis sesar selepas ribuan tahun ia ‘mati’ menyaksikan 30 kejadian gempa bumi berlaku di kawasan itu bermula 2007 dengan gegaran terkuat direkodkan adalah 4.2 pada skala Richter.
Menurut kenyataan itu, kajian yang dijalankan merangkumi kajian geologi rantau, geologi struktur, bentuk muka bumi, geofizik dan penderiaan jarak jauh.
Berita berkaitan: Ancaman gempa bumi di Janda Baik
Berita berkaitan: Gempa bumi: Pahang mula bertindak
“Hasil utama bagi projek ini adalah bagi mendapatkan peta seismoteknik, peta bahaya seismik dan peta geologi kejuruteraan selain laporan teknikal mengenai gempa bumi.
“Kesemua dapatan ini boleh digunakan pihak berkuasa tempatan bagi membuat perancangan yang lebih berkesan terutamanya di kawasan yang mempunyai rekod gempa bumi,” ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya telah memasang Penanda Aras Gempa (PAG) bumi dilokasi dikenal pasti di Bukit Tinggi dan Janda Baik bagi memantau pergerakan blok batuan dan sesar yang aktif dari semasa ke semasa.
Katanya, Penanda Aras Gempa Bumi tersebut dapat merekodkan kejadian gempa bumi dan pergerakan batuan di kawasan sesar di Bukit Tinggi dan Janda Baik di sini.
Sementara itu mengulas mengenai kesan kepada struktur tanah dan batuan katanya, kejadian gempa bumi di kawasan sesar secara tidak langsung menyebabkan batuan mengalami proses luluhawa yang lebih tinggi seterusnya mengurangkan kekuatan batuan dan menghasilkan lapisan tanah yang lebih tebal.
“Gempa bumi yang terhasil turut dianggap sebagai faktor pencetus bagi kejadian bencana geologi lain seperti bencana geologi tanah runtuh, bencana geologi pencairan tanah dan bencana geologi lubang benam,”ujarnya.-K! ONLINE