PETALING JAYA – Legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei terus berbakti kepada negara dalam usaha menentang Covid-19 apabila menyumbangkan bantuan bagi menaik taraf Unit Kecemasan Hospital Bukit Mertajam di Pulau Pinang.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di laman Twitternya dengan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Chong Wei atas sumbangan tersebut.
“Saya dan seluruh warga Kementerian Kesihatan (KKM) ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Yayasan Lee Chong Wei atas sumbangan menaik taraf Unit Kecemasan Hospital Bukit Mertajam.
“Semoga ianya dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk semua penduduk setempat dan sekitarnya,” katanya tadi.
Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menjadikan Hospital Bukit Mertajam sebagai hospital hibrid Covid-19 susulan peningkatan kes wabak tersebut yang memerlukan rawatan.
Terdapat 72 katil dengan paip oksigen yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 selain bilangan katil boleh ditingkatkan sehingga 120 katil jika keperluan bertambah.
Hospital itu juga dapat menerima pesakit hemodialisis yang dijangkiti Covid-19 memandangkan ia dilengkapi dengan kemudahan hemodialisis di katilnya.
Chong Wei yang dibesarkan di Berapit, Pulau Pinang merupakan antara legenda badminton negara yang banyak mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, rata-rata pengguna laman Twitter turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Chong Wei di atas sumbangan diberikan dalam usaha memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat. – K! ONLINE