PUCHONG – Kementerian Sumber Manusia mencadangkan supaya lebih kurang 2 juta isteri yang menjadi suri rumah perlu diberi perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara percuma.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya bersama-sama Perkeso telah berbincang mengenai perkara tersebut dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd. Harun.
“Kita sudah mencadangkan perkara ini tetapi terpulang kepada kedudukan kewangan kerajaan. Langkah ini dicadangkan bagi memberi jaringan keselamatan kepada para isteri terutama yang menjadi suri rumah tangga sekiranya berlaku sesuatu kepada suami.
“Justeru itu, saya ingin mengingatkan para isteri supaya memastikan suami mereka mencarum Perkeso sebagai persediaan kepada keluarga sekiranya terjadi kemalangan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas melawat waris pencarum Perkeso di Taman Puchong Perdana, di sini hari ini.
Sementara itu, M. Saravanan berkata, kesedaran rakyat berkenaan kepentingan pencaruman Perkeso masih berada pada tahap yang rendah.
“Ramai rakyat kurang sedar kewujudan Perkeso ini, ramai juga isteri yang tidak tahu jika suami mencarum, sekiranya dia meninggal isteri akan mendapat faedah caruman itu.
“Selain itu, Perkeso juga akan menanggung pendidikan anak-anak mereka yang berumur di bawah 21 tahun,” jelasnya. – K! ONLINE.