PONTIAN – Seorang penternak lembu mengalami kerugian kira-kira RM17,000 apabila lembu miliknya mati dipanah petir dalam kejadian sebuah ladang di Kampung Pak Khalib, Pekan Nanas, di sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, sebanyak enam ekor lembu yang diternak Abdul Samad Samiran, 48, ditemui dalam keadaan bergelimpangan.
Menurut Abdul Samad, kejadian itu melibatkan lima ekor lembu betina dan seekor anak lembu jantan.
“Ini kali pertama berlaku ke atas ternakan saya sejak enam tahun mengusahakan penternakan lembu.
“Syukur sebab masih ada 40 ekor yang selamat dalam kejadian ini, semasa kejadian, hujan lebat beserta petir, lepas hujan reda saya pergi tinjau tengok enam ekor sudah tumbang,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Abdul Samad berkata, sebelum menceburi bidang ternakan lembu, dia merupakan penternak madu kelulut sehingga mendapat anugerah inovasi di peringkat negeri dan peringkat kebangsaan pada 2017 anjuran Jabatan Pertanian Malaysia.-K! ONLINE.