AMPANG – Kejadian tanah runtuh di kawasan rumah teres di Kemensah Height, di sini hari ini menyebabkan 28 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.33 malam.
“Sepasukan anggota bomba bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, petugas mendapati berlaku tanah runtuh di bahagian belakang 19 rumah di kawasan terbabit,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.
Menurut beliau, atas faktor keselamatan, 28 keluarga berkenaan diarahkan keluar dari rumah masing-masing ke pusat pemindahan sementara.
“Difahamkan kejadian tanah runtuh itu berlaku berikutan hujan pada petang tadi.
“Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu,” ujarnya. – K! ONLINE.