fbpx

103 penduduk Jalan Kemensah Heights dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota dan pegawai polis turut ditempatkan di sekitar lokasi kejadian tanah runtuh bagi mengawal pergerakan dan keselamatan penduduk kawasan tersebut.

AMPANG JAYA – Seramai 103 penduduk di Jalan Kemensah Heights telah dipindahkan dari kediaman mereka untuk sementara waktu susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tindakan pemindahan tersebut dibuat semalam demi memastikan keselamatan penghuni kerana bimbang kejadian runtuhan berulang.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah membuat tindakan awal menutup tanah runtuh dengan kanvas terlebih dahulu sebelum sebarang kerja dapat dilakukan bagi mengelakkan lokasi kejadian terdedah kepada cuaca seperti hujan.

“Jabatan Mineral dan Geosains turut melakukan pemeriksaan dan kajian untuk mengetahui penyebab kejadian tanah runtuh itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, bagi mengawasi sebarang pergerakan dan keselamatan penduduk, seramai sembilan pegawai dan 39 anggota polis telah ditempatkan di sekitar lokasi kejadian.

“Langkah ini juga adalah bagi menjamin keselamatan semua termasuk penduduk yang mendiami kawasan berhampiran dan kita tidak membenarkan sebarang pergerakan kepada mereka yang datang dari luar kawasan ini,” ujar beliau.

Kosmo! Online semalam melaporkan tentang kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height di sini sehingga mengakibatkan penduduk di kawasan terlibat terpaksa mengosongkan kediaman mereka sebagai langkah berjaga-jaga. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI