BRUGGE – Kehadiran bintang sensasi dunia, Lionel Messi gagal untuk membantu Paris Saint-Germain mencatat kemenangan pada aksi pertama Liga Juara-Juara apabila sekadar terikat 1-1 menentang Club Brugge awal pagi semalam.
Membuat penampilan pertama di pentas Eropah bersama kelab dari Perancis itu, Messi sekadar melakukan satu percubaan yang mengenai palang gol selain persembahan hambar dua lagi bintang PSG, Neymar dan Kylian Mbappe.
Mbappe berjaya melakukan umpanan untuk gol pembukaan yang disempurnakan oleh Ander Herrera pada minit ke-15 sebelum dikeluarkan pada separuh masa kedua ekoran masalah kecederaan.
Brugge yang dilihat lebih agresif pada perlawanan berkenaan berjaya meledak gol penyamaan pada minit ke-27 menerusi Hans Vanaken sebelum mereka terus melakukan asakan dan hampir menambah jaringan menerusi beberapa peluang dimiliki.
Ketua Jurulatih PSG, Mauricio Pochettino mengakui Messi masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di Paris.
“Mbappe mungkin mengalami kecederaan buku lali. Kami akan menilai situasinya nanti dan perkembangannya akan diberitahu kemudian .
“Kami memerlukan masa untuk membentuk gandingan mantap antara Messi, Neymar dan Mbappe. Masing-masing perlu memahami antara satu sama lain.
“Kami tidak berjaya melakukan yang terbaik pada perlawanan ini tetapi kami perlu tenang, terus bekerja keras dan semuanya memerlukan masa. Saya percaya semuanya akan menjadi lebih baik selepas ini.
“Seluruh pasukan ini kecewa dengan keputusan yang diperoleh dan kami langsung tidak gembira tetapi saingan masih awal, kami masih mempunyai peluang untuk aksi berikutnya selepas ini,” jelasnya.
–AGENSI