SUNGAI PETANI – Polis mengesahkan seorang penagih dadah yang ditemui mati di hadapan sebuah kedai runcit di Padang Temusu di sini pagi tadi positif Covid-19.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, keputusan itu diperoleh hasil ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dilakukan terhadap mayat mangsa petang tadi.
Katanya, mangsa berusia 72 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam pada pukul 9.53 pagi ini sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
“Anak saudara mangsa memaklumkan dia yang belum berkahwin tinggal berseorangan berdekatan tempat kejadian dan melakukan kerja sendiri untuk menyara hidup.
“Anak saudaranya juga memaklumkan bapa saudaranya merupakan penagih tegar dan siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, lokasi kejadian turut disanitasi dan mayat dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE.