LIVERPOOL – Pengurus pasukan Liverpool, Jurgen Klopp berpuas hati dengan semangat juang tinggi dipamerkan oleh anak-anak buahnya untuk mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas kelab gergasi Serie A, AC Milan pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi semalam.
Pada saingan Kumpulan B itu, skuad The Reds ketinggalan 1-2 kepada pasukan pelawat sebelum berjaya mempamerkan kebangkitan babak kedua hasil ledakan Mohamed Salah dan Jordan Henderson.
Kata Klopp, apa yang dipamerkan oleh pasukannya cukup luar biasa kerana bukan mudah untuk bangkit daripada ketinggalan menentang skuad Rossoneri yang dibarisi ramai pemain berkualiti tetapi mereka telah buktikan tiada apa yang mustahil dalam bola sepak.
“Kami memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila mendominasi sepenuhnya saingan pada 25 minit pertama tetapi situasi berubah apabila barisan pemain agak leka dengan membiarkan Milan bangkit mendahului 2-1 sebelum tamat babak pertama.
“Namun, situasi berbeza pada separuh masa kedua yang mana pasukan saya kembali fokus dan mempamerkan kelas tersendiri. Apa yang pasti, aksi sukar ini bagaikan sudah dijangka kerana kami berada dalam kumpulan maut,” katanya.
Sementara itu, Henderson yang juga kapten pasukan mengakui bagaikan tidak percaya apabila berjaya mencetak nama sebagai penjaring sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukan pada aksi pembukaan Kumpulan B ini.
“Semua orang tahu saya jarang menjaringkan gol buat pasukan, namun saya sangat gembira apabila jaringan berjaya dilakukan, ia adalah pada perlawanan berskala besar dan ini adalah salah satu gol terpenting dan tercantik pernah saya lakukan,” katanya. – AGENSI