PETALING JAYA – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengadakan lawatan khas ke United Kingdom bermula semalam.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Sultan Nazrin yang merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam lawatan khas ini, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.
“Atur cara lawatan khas ini turut diisi dengan pertemuan antara Seri Paduka Baginda berdua bersama komuniti rakyat Malaysia di London,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst, dengan baginda pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.
Katanya, Seri Paduka Baginda turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, Sir General Nicholas Carter, yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.
“Usai lawatan khas ini, Seri Paduka Baginda berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 September 2021. Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober 2021,” katanya. – K! ONLINE