LIVERPOOL – Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli mengakui barisan pemainnya mendapat pengajaran berguna selepas tewas 2-3 kepada Liverpool pada aksi Kumpulan B Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, skuad The Rossoneri telah mengejutkan pasukan tuan rumah untuk mendahului 2-1 pada babak pertama menerusi jaringan Ante Rebic serta Brahim Diaz sebelum The Reds melakukan kebangkitan dramatik pada separuh masa kedua untuk mengutip tiga mata penuh.
Kata Pioli, pasukannya berhak tewas selepas Liverpool yang dikendalikan oleh Jurgen Klopp mempamerkan corak permainan agresif dan ia menyukarkan pasukannya mencuri mata berharga.
“Saya akui kami agak kecewa memandangkan sudah berada di landasan terbaik untuk mencuri mata penting selepas mendahului 2-1 pada babak pertama.
“Namun, beberapa kesilapan mudah termasuk hilang fokus menyaksikan kami terpaksa akur pulang dengan tangan kosong. Apa yang pasti, ini adalah pengalaman berharga buat pasukan yang sudah lama tidak beraksi pada saingan elit ini,” katanya.
Sementara itu, kapten AC Milan, Davide Calabria mengakui mereka boleh berbangga dengan apa yang dipamerkan selain percaya masih ada ruang untuk bangkit selepas ini.
“Ini adalah kali pertama Milan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara dalam tempoh tujuh tahun dan barisan pemain perlu bersikap positif. Justeru, tiada apa yang perlu dimalukan,” katanya. – AGENSI