fbpx

Dulu pengusaha bot, kini jadi nelayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUSAHA di Teluk Bahang, George Town terpaksa mengubah suai bot pelancong untuk menangkap ikan.

GEORGE TOWN – Pengusaha bot pelancong di negeri ini dikatakan semakin resah memikirkan kehidupan mereka sehingga ada yang sudah menggantung lesen termasuk menjual atau mengubah suai pengangkutan air itu menjadi bot nelayan.

Rata-rata pengusaha bot yang ditemui Kosmo! di Teluk Bahang, di sini semalam mengatakan, mereka kini terpaksa mengubah haluan hidup setelah terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak penghujung tahun lalu.

Golongan itu kini terpaksa sedaya upaya menggunakan pendekatan dan kreativiti tersendiri dalam meneruskan kelang­sungan hidup sekeluarga.

Pengusaha dan pemandu bot pelancong di Batu Fer­ringhi, Mohammad Akram Mydin Kuppy, 53, berkata, dia terpaksa menghentikan perkhidmatan bot pelancong yang sudah ber­operasi lebih 20 tahun lalu susulan pelaksa­naan larangan merentas negeri.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas dia kehi­langan sumber pendapatan utama sejak penghujung tahun 2020.

“Saya terpaksa beralih bidang pekerjaan menjadi nelayan pantai dengan mengubah suai bot jenis fibre yang sebelum ini digunakan untuk membawa pelancong kepada bot nelayan.

“Banyak kerja yang perlu dilakukan termasuk mengeluarkan kerusi penumpang, memotong lantai dan bumbung bot dengan menelan belanja RM7,000. Wang ini juga saya terpaksa pinjam dari­pada rakan.

“Pendapatan dahulu dan kini sangat berbeza sama sekali. Dahulu, saya mampu memperoleh sehingga RM2,000 sehari tetapi kini hendak dapat RM50 sehari pun payah. Hasil laut pula bergantung pada musim dan cuaca,” katanya.

Ujar anak jati dari Teluk Bahang itu, selain dirinya, ramai dalam kalangan mereka kini dikatakan mulai gulang tikar berikutan tidak mampu bertahan untuk sekian lama selain beralih pekerjaan menjadi buruh, pe­niaga dan penghantar makanan.

Akuinya lagi, sehingga kini masih tiada kelihatan aktiviti bot pelancong berulang-alik membawa penumpang dari Pantai Batu Ferringhi ke Monkey Beach, Teluk Kampi dan Pantai Kerachut di Teluk Bahang.

Dalam pada itu, Mohammad Akram merayu kerjasama Kerajaan Pusat dalam membantu menyelesaikan permohonan lesen nelayan pantai untuk golongan terbabit yang terkesan akibat pandemik itu.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha bot pelancong yang mahu dikenali sebagai Din, 50-an pula memberitahu, faktor usia membuatkan dirinya berdepan kesukaran untuk mencari pe­luang pekerjaan baharu.

“Saya tiada pilihan lain selain turun ke laut semata-mata mencari sumber pendapatan harian. Dengan usia yang sudah menjangkau tua, laut kekal menjadi tempat mencari rezeki dahulu dan kini.

“Saya rayu campur tangan Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membantu meringankan beban golo­ngan pengusaha bot pelancong di negeri ini,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI