LONDON – Pemain tengah Manchester City, Jack Grealish mengakui gembira dengan penampilan pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara selepas membantu pasukannya membenam RB Leipzig 6-3 awal pagi semalam.
Dalam aksi pembukaan Kumpulan A tersebut, pemain sayap England tersebut membantu City membuka gol pembukaan apabila sepakan sudut yang diambilnya berjaya ditanduk kemas Nathan Ake untuk menjaringkan gol pada minit ke-16.
Grealish sekali lagi mencuri tumpuan apabila gerakan solonya berjaya menewaskan pemain pertahanan Leipzig sebelum melepaskan rembatan deras kaki kanannnya untuk mencatat nama sebagai penjaring gol pada minit ke-56.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana beberapa hari yang lalu saya tidak sabar untuk membuat kemunculan pertama pada saingan Liga Juara-Juara.
“Bagi saya, perlawanan ini sangat menakjubkan terutama ketika berdepan pasukan yang hebat seperti Leipzig. Apa pun saya gembira apabila mampu menyumbang gol buat City untuk meraih kemenangan,” katanya.
Pada saingan tersebut, Riyad Mahrez, Joao Cancelo dan Gabriel Jesus masing-masing meledak satu gol buat City. Pasukan pelawat memperoleh gol menerusi ledakan hatrik Christopher Nkunku.
Sementara itu, pengendali City, Guardiola berbangga dengan penampilan Grealish dan percaya pemain berusia 26 tahun itu mempamerkan peningkatan setiap minggu sebaik sahaja menyarung jersi No.10 bersama pasukannya.
“Saya gembira dengan apa yang dipamerkan Grealish pada perlawanan ini. Sumbangannya bersama pasukan pasukan sangat baik dan saya harap dia dapat kekal dengan prestasi cemerlang itu sepanjang musim ini,” kata Guardiola. – AGENSI