DEWANGGA SAKTI. Namanya saja sudah cukup klasik dan penuh mistik. Band aliran moden berteraskan muzik rakyat atau folk Melayu kontemporari ini ditubuhkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) oleh sekumpulan pemegang ijazah yang obses dengan muzik sekitar 21 tahun lalu.
Nama ‘dewangga’ itu sendiri diambil daripada hasil bacaan yang terdapat di dalam buku-buku lama dan hikayat Melayu.
Anggotanya pula silih berganti. Ketika album pertama, Mabok Kepayang diterbitkan, hanya enam ahli yang terlibat.
Bermula dengan konsert ‘suka-suka’ pada malam kesenian di UIAM dan mengalunkan irama ketika memenuhi jemputan meraikan pasangan pengantin makan beradab, band itu kemudiannya mengumpul peminat tersendiri.
“Lima buah lagu dalam album mini bertajuk Mabok Kepayang pada 2008 menjadi titik permulaan Dewangga Sakti cuba menjadi sebahagian daripada penyumbang halwa telinga buat peminat muzik genre folk Melayu kontemporari.
“Berkat kesabaran dan kesungguhan, kini kami menzahirkan album kedua bertajuk Arus Deras yang memuatkan 11 buah lagu ciptaan sendiri.
“Ini satu usaha untuk memberitahu orang ramai bahawa muzik tradisional masih hidup,” kata Zulkifli Ramli, 46.
Selaku ketua kumpulan, Zulkifli menegaskan penerbitan Arus Deras melalui kisah yang panjang dan penuh cabaran, tambahan pula dibikin sewaktu era pandemik Covid-19.
Katanya, komitmen yang diberikan oleh setiap ahli kumpulan merupakan tunjang kepada kejayaan penerbitan Arus Deras memandangkan lima daripada anggota mereka mempunyai pekerjaan tetap.
“Namun kami mempunyai hobi dan minat terhadap muzik yang serius. Aktiviti jamming dan perbincangan hanya dilakukan pada hujung minggu,” kata Zulkifli.
Tambah Zulkifli juga, Arus Deras dibikin dengan misi menzahirkan sebuah album folk Melayu kontemporari dengan menggabungkan instrumen gambus, rebana, akordion, seruling, gendang dan lain-lain yang mungkin lari daripada formula biasa.
“Album ini dibuat untuk mendokumentasikan muzik etnik Melayu sebagai menyahut semangat zaman.
“Terima kasih kepada Himawari Record yang percayakan Dewangga Sakti dan membantu kami melancarkan seluruh proses produksi, termasuk pengurusan kewangan,” katanya.
Dewangga Sakti juga mengambil masa selama enam bulan bermula Oktober 2019 untuk menyiapkan album Arus Dera dalam bentuk CD Digipak.
Untuk hasil keseluruhan, Zulkifli yang juga kakitangan sebuah syarikat swasta itu menyerahkan kepada pendengar untuk menilai sendiri keunikan karya dalam Arus Deras.
“Kami akan pergi kepada semua saluran yang bersesuaian termasuk pelantar digital bagi menyebarluaskan lagi genre dibawa,” katanya.
Bercakap tentang rasional penghasilan album sedangkan pemuzik lain cenderung memilih single atas banyak faktor seperti pasaran dan kewangan, Zulkifli menjelaskan, album lebih dekat di hati dan emosi orang seni lebih puas dengan penghasilan karya berbentuk sedemikian.
“Kami optimis untuk meneroka pasaran dan pendengar baharu sama ada di tanahair atau luar negara. Mungkin showcase maya boleh dibuat pada tahun 2022,” katanya.
Mengakui masih belum begitu dikenali, Zulkifli menegaskan pengenalan Dewangga Sakti mengambil masa lama memandangkan genre pilihan mereka bukan irama hip atau sohor.
“Kami akan terus berkarya dalam nada serta acuan Dewangga Sakti,” katanya.
Dia yakin masih ramai pemuzik tradisional negara ini, namun kurang menyerlah disebabkan tidak mempunyai album.
Katanya, kelangsungan sesuatu muzik juga ditentukan oleh dokumentasi yang perlu dititikberatkan oleh semua.
“Jadi, perlu ada dokumentasi pengalaman dan kemahiran. Kita perlu memberi peluang kepada orang muda menikmati dan tidak melupakan muzik akar kita.
“Kami harap kami dapat menjadi sebahagian daripada itu,” katanya.
Arus Deras dilancarkan secara rasmi pada pukul 9 malam 16 September menerusi Facebook Tempatan Fest dan Melaka Daily.