KAJANG – Empat warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan, berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup, selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan meminta wang dan melarikan seorang lelaki Bangladesh Ogos lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh itu iaitu Josim, 32 dan isterinya yang merupakan warga tempatan Faridah Jeya Sly Ramesh, 27, Md. Raihan Hosen, 28; Miah Soraf, 33 serta Nusrat Jahan Bipasha, 26 selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain.
Mengikut pertuduhan, mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, didakwa mencapai niat bersama bagi mendapatkan wang tebusan sebanyam sejuta Taka, telah menahan seorang lelaki warga Bangladesh, Md. Sohel Rana, 39, dengan cara melarikannya secara salah.
Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan sebuah pasar mini, Jalan Damai Mewah di sini pukul 8.30 malam pada 27 Ogos lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran.
Tertuduh Md. Raihan dan Josim diwakili peguam, Tan Cheng Yee manakala tiga yang lain tidak diwakili peguam
Tarikh 7 Oktober ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Pada 3 September lalu, Kosmo! melaporkan
seorang lelaki warga Bangladesh yang diculik rakan senegaranya berjaya diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, serbuan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki warga Bangladesh semalam.
Menurut polis mangsa telah dilarikan dua orang lelaki Bangladesh ketika berada di kawasan Jelok Ria dan telah menghubungi isterinya untuk meminta memasukkan wang tunai 1 juta Taka (anggaran RM50,000) ke akaun bank Bangladesh.
Katanya, isteri mangsa yang ketakutan telah melakukan transaksi tersebut ke satu akaun bank tempatan Bangladesh yang tidak dikenali. -K!ONLINE