KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna (KPDNHEP) mengeluarkan sebanyak 34 notis pemberitahuan kepada peniaga agar menurunkan tanda harga ayam sebanyak RM0.10 sehingga RM0.50 bagi setiap kilogram.
Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd. Rahman berkata, daripada jumlah itu, seramai 33 peniaga bersetuju menurunkan harga ayam tersebut semasa pemeriksaan dijalankanlan.
Menurutnya, notis itu dikeluarkan sebagai satu tindakan pemantauan kedudukan harga dan peringatan kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.
“Selain itu, ia dapat menangani segera isu kenaikan harga yang tinggi di pasaran. Penurunan harga ini menunjukkan komitmen peruncit, pemborong dan penternak berikutan keluhan pengguna selain hasil penguatkuasaan yang dijalankan oleh KPDNHEP Kelantan.
“Kita akan sentiasa memantau bagi memastikan pengguna mendapat harga yang munasabah tanpa menjejaskan peniaga dan manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Adnan, pemeriksaan yang dijalankan di daerah ini mendapati harga jualan ayam tertinggi dikesan di Pasar Awam Ketereh yang dijual pada harga RM9.50 sekilogram.
Katanya, bagaimanapun, harga tersebut telah diturunkan sebanyak RM0.50 selepas peniaga menerima notis.
“KPDNHEP Kelantan turut mendapati harga jualan runcit ayam masih dijual pada harga rendah RM7.90 sekilogram,” katanya. -K! ONLINE