PETALING JAYA – Berkat disiplin berjimat-cermat sejak dua tahun lalu diiringi doa ibu ayah, penyanyi rap, Bunga Isme akhirnya berjaya memiliki rumah sendiri pada usia 21 tahun.
Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari berkata, ibu bapanya sendiri terkejut apabila dia berjaya memiliki kediaman sendiri pada usia yang begitu muda.
“Ibu ayah ingat saya ini jenis yang suka memboros tapi apabila saya beritahu mereka (nak beli rumah), mereka terkejut dan pada masa sama, berasa bangga.
“Ibu bapa mana yang tak bangga kalau anak mereka berjaya beli aset sendiri pada usia yang muda. Ini semua adalah berkat doa mereka dan apa yang saya raih ini, untuk mereka yang membesarkan saya sehingga sekarang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Ujar pelantun Kena Check itu, rumah jenis kondominium yang terletak di Hulu Langat, Selangor itu dianggarkan berharga RM300,000, berkeluasan 1,100 kaki persegi dan dijangka siap menjelang 2023.
Kata Bunga lagi, banyak perkara yang terpaksa dikorbankan pada usia muda supaya hasratnya untuk memiliki rumah tercapai.
“Orang muda macam saya ini banyak kemahuan itu ini namun saya kata pada diri sendiri, saya perlu menabung, melabur, menguruskan kewangan dengan baik dan itu yang saya lakukan sejak dua tahun sudah.
“Selain itu, saya juga mendisiplinkan diri menjaga keluar masuk wang di akaun bank supaya aliran (wang) nampak cantik. Memang saya nak beli rumah beli rumah pada usia mudah dan alhamdulillah, tercapai juga akhirnya,” katanya.
Bakal menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Pentadbiran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekitar hujung tahun ini, Bunga memaklumkan, selama ini, dia sekeluarga hidup berpindah-randah disebabkan profesion ibu bapanya.
“Sejak di bangku sekolah menengah, saya sekeluarga hidup berpindah-randah. Ibu kerja sebagai kakitangan kerajaan dan dah pencen. Saya harap dengan hadiah tak seberapa ini dapatlah mengukir senyuman di bibirnya,” katanya. – K! ONLINE