GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang akan memantau lokasi pelancongan popular di negeri ini bermula hari ini sehingga Ahad sebagai indikator sama ada tindakan selanjutnya perlu diambil sekiranya berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di kawasan berkenaan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mencadangkan penutupan sesuatu kawasan tumpuan pelancong kepada Kementerian Kesihatan (KKM) jika orang ramai masih tidak mematuhi SOP.
“Polis akan memantau berserta dengan rakaman video serta gambar membabitkan kawasan tumpuan orang ramai.
“Jika ada peningkatan mendadak jumlah orang yang tidak mengikut SOP, kita akan syorkan penutupan lokasi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pantai Miami, Tanjung Bungah di sini hari ini.
Menurut beliau, ketika cuti hujung minggu lalu pihaknya mendapati berlaku pertambahan jumlah pengunjung di kawasan pantai serta taman rekreasi.
“Pada hari ini, saya telah meninjau tiga lokasi tumpuan pelancong di bahagian pulau dan mendapati tiada pertambahan mendadak jumlah pengunjung.
“Namun dari segi pematuhan SOP, kita dapati masih ada yang belum mematuhi SOP dan kita ambil tindakan untuk nasihatkan mereka terlebih dahulu,” katanya lagi. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929