PARIT – Kesempitan hidup menyebabkan tiga beranak di Kampung Lambor Kanan di sini terpaksa tinggal di sebuah rumah usang dengan sebahagiannya tidak berdinding sejak 20 tahun lalu.
Lebih menyedihkan, keadaan rumah pusaka berlantaikan kayu reput dengan bumbung bocor di merata-rata itu kelihatan uzur dan tidak selamat.
Ruziah Sallehuddin, 16, berkata, dia bersama ibu dan adik lelakinya berusia 13 tahun terpaksa mendiami rumah itu meskipun keadaannya tidak selesa kerana terlalu daif.
Katanya, apa yang membimbangkan mereka sekeluarga apabila cuaca buruk kerana rumah seakan-akan bergoyang sekiranya ditiup angin dan hujan lebat.
“Bumbung memang banyak bocor dan susah untuk tadah jika hujan, jadi kami pasang plastik kanvas untuk halang air daripada menitik.
“Namun, tempias air hujan tetap masuk ke dalam rumah kerana sebahagian dinding hanya dihadang dengan kain manakala tingkap pun sudah tidak bercermin,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muzaffar Shah itu, dia bagaimanapun bersyukur kerana kesusahan hidup mereka sekeluarga mendapat perhatian pemimpin setempat khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed.
Katanya, apa yang lebih menggembirakan apabila mereka bakal mendapat rumah baharu di lokasi lain di bawah Projek Baiti Jannati (PBJ) Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Ayah dan emak memang mahukan rumah baharu tapi kami tidak mampu. Selepas ayah meninggal dunia pada November 2019, hanya emak yang bekerja menyara saya dan adik dengan bekerja kampung.
“Apabila tahu kami akan menerima rumah baharu, memang kami gembira. Walaupun hasrat ayah tidak kesampaian, sekurang-kurangnya kami ada kediaman yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Ruziah dan ibunya, Ramlah Mat Nayan, 54, dibawa ke lokasi pembinaan rumah baharu mereka di Kampung Rimba Raja di sini dengan diiringi Khairul Shahril dan Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Ir. Sharuddin Mohd. Simin.
Sementara itu, Khairul Shahril berkata, keluarga Ramlah antara dua penerima bantuan di bawah program tanggungjawab sosial korporat TNB di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota.
Katanya, rumah yang bakal dibina bermula dua minggu lagi itu adalah jenis setingkat dengan tiga bilik dan dua bilik air.
“Seorang lagi penerima dari Kampung Seri Kaya yang rumahnya musnah terbakar. Bagi keluarga Ramlah sebelum ini terdapat masalah pemilikan tanah, jadi kita carikan mereka tapak kosong untuk membolehkan pembinaan rumah baharu,” katanya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929