MANJUNG – Penularan wabak Covid-19 menyebabkan sebahagian besar penduduk berpendapatan rendah di daerah ini terus merasai kesannya.
Setiap hari antara empat hingga lima keluarga yang dikuarantin menghubungi Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Masyarakat Perak (Ukhuwah) bagi mendapatkan bantuan.
Pengerusinya, Norhaslinda Zakaria berkata, sebilangan penduduk masih merasai kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila memohon bantuan makanan daripada pihaknya.
Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Manjung, selain dikuarantin ada juga penduduk yang terjejas pendapatan misalnya tidak dapat melakukan kerja sampingan.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari saya menerima mesej dan panggilan mengenai keluarga yangg dikuarantin perlukan bantuan makanan dan sebagainya.
“Ada penduduk yang menghubungi kami sendiri manakala selebihnya menerusi ketua kampung dan wakil komuniti dan Insya-Allah akan dibantu,” ujarnya kepada Kosmo!.
Sebahagian besar bantuan yang diberi adalah menerusi sumbangan orang ramai termasuk individu selain kotak makanan daripada Perak Foodbank.
Sementara itu, usaha Ukhuwah membantu penduduk sekitar Manjung yang memerlukan bantuan diringankan apabila menerima sumbangan daripada sebuah syarikat, BME Logistics Sdn. Bhd. (BME Logistics).
Pengarah BME Logistics, Ahmad Zuraidee Hamzah berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda prihatin pihak syarikat untuk sama-sama menyantuni penduduk setempat yang ditimpa kesusahan.
“Usaha sukarelawan Ukhuwah untuk pergi dari rumah ke rumah penduduk yang dibantu ini sangat besar, jadi sumbangan kecil kami ini menyokong kerja-kerja kebajikan tersebut,” ujarnya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929