Setiap hari, kita akan mengetahui seorang lagi rakan, saudara atau teman sepejabat mendapat Covid-19. Selepas hampir 20 bulan pandemik melanda negara, kita sudah makan, minum, tidur, dan mimpi Covid-19.
Setiap petang, kita dihujani data – jumlah kes, negeri mana tertinggi, berapa di wad ICU dan berapa ramai mati di rumah atau hospital. Pukul 4 petang, data sama memenuhi WhatsApp pengguna. Awak ada 10 grup, 10 kongsi data sama.
Cuma apa yang berbeza berbanding lima bulan lalu, sekarang secara purata lebih 75 peratus penduduk dewasa sudah mendapat vaksin penuh. Ada cahaya di hujung terowong bahawa kita akan mencapai imuniti kelompok sebelum akhir tahun.
Sebelum capai imuniti kelompok sudah ramai rasa seperti ‘Kunta Kinte’ yang dibebaskan daripada penghambaan.
Kata sahaja boleh rentas daerah seperti di Lembah Klang, terus semua tempat dipenuhi orang ramai macam ada jualan murah di Jalan Tunku Abdul Rahman. Tetapi orang ramai tidak boleh disalahkan.
Selepas berkurung selama enam bulan. Manusia adalah spesies yang hidup bergerak. Kalau kita tidak bergerak, kita pasti mati. Lebih-lebih lagi sekarang orang bersembang mengenai memasuki endemik dan bukan pandemik.
Lebih terasa apabila menyaksikan bola sepak EPL hujung minggu. Tiada siapa peduli mengenai SOP, pelitup muka dan penjarakan fizikal. Di Malaysia, kebimbangan mengenai Covid-19 masih tebal tetapi keyakinan hari ini ialah risiko parah berkurang ratusan peratus kerana sudah mendapat vaksin.
Vaksin memberi sedikit kekebalan tetapi bukan perlindungan sepenuhnya. Lebih penting, ia menambah keyakinan untuk kembali merasai sedikit nikmat kehidupan seperti rakan-rakan kaki golf yang tidak tahan untuk ‘menebas’ atau untuk ‘ayamkan’ kawan.
Cuma apa maknanya sebenar hidup dalam endemik? Jahatnya Covid-19 ini tidak seperti selesema, demam biasa atau denggi. Setiap kali seseorang didapati positif walaupun telah didos lengkap, dia menjadi pembawa virus.
Maka dia diletakkan di bawah perintah berkurung. Semua kontak rapat pun mulalah rasa gelabah.
Berlari lah mereka seperti mencari air di musim panas, untuk dapatkan kit ujian kendiri. Selepas itu bermulalah debaran menunggu 15 minit sebelum ujian tunjukkan keputusan. Ia seperti seorang wanita melakukan ujian mengandung. Kumat kamit di hati… jangan la aku positif Covid-19.
Apabila petunjuk ujian adalah negatif, kelegaan macam menang loteri. Tetapi ia tidak berakhir di situ. Mula risau jika simpton hanya akan keluar selepas antara empat hingga enam hari.
Keadaan jadi gelabah semula. Maka telefon lah ke pejabat, rakan dan mereka yang menjadi kontak rapat. Daripada gelabah seorang, jadi gelabah satu keluarga dan pejabat.
Di pejabat, sibuk ketua-ketua membuat ujian atau contact tracing dan memikirkan prosedur operasi, hendak tutup pejabat, kerja dari rumah, angkut komputer balik dan sebagainya.
Itu adalah realiti Covid-19 yang menjangkaui data jumlah kes harian, kematian dan jumlah dos. Sama ada ini adalah kehidupan ideal? Tidak sama sekali.
Tetapi ini adalah yang terbaik ketika ini sehingga ada seorang genius mencipta pil seperti Panadol dan dapat membunuh virus Covid-19. Sehingga itu, kehidupan ini harus diteruskan dan apabila kita dengar ada yang menghidap Covid-19, jawapannya nanti ‘Oh okey’.