PETALING JAYA – Permintaan gula bagi pasaran domestik dilihat beransur pulih tahun ini, seiring pembukaan semula lebih banyak ekonomi dibenarkan beroperasi sebagai langkah kawalan pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM), Syed Feizal Syed Mohammad berkata, permintaan gula domestik telah meningkat sekitar lima hingga 10 peratus untuk separuh tahun pertama 2021 dan ia diunjurkan bertumbuh pada julat hampir sama pada separuh kedua.
“Tidak ada lonjakan permintaan tetapi pemulihan dilihat berlaku secara beransur-ansur.
“Penggunaan gula negara dijangka kembali kepada paras sebelum ini, iaitu sekitar 1.5 juta tan setahun pada tahun hadapan, setelah berkurang kepada 1.2 hingga 1.3 juta tan setahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Harga gula mentah pula diunjurkan kekal tinggi dan mungkin hanya kembali ke paras normal menjelang akhir 2022.
“Ini disebabkan kekurangan bekalan akibat cabaran cuaca di Brazil, namun kami telah mengambil langkah lindung nilai sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MSM yang diadakan secara maya semalam.
Dalam EGM semalam, pemegang saham MSM meluluskan penjualan keseluruhan kepentingan ekuiti di MSM Perlis Sdn. Bhd. (MSM Perlis), anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya MSM kepada FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. (FGVIF).
Pertimbangan penjualan awal itu akan melibatkan sebanyak RM 175 juta.
Ia merangkumi 11 bidang tanah pertanian dan perindustrian, tertakluk kepada pelarasan modal kerja bersih dan hutang bersih setelah selesai urusan pelupusan seperti yang dicadangkan.
Pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti di MSM Perlis dianggarkan memberikan hasil sebanyak RM91.6 juta.
Menurut Syed Feizal, pihaknya merancang untuk melupuskan beberapa lagi aset yang kurang strategik.
Antaranya melibatkan kilang, mesin dan tanah perindustrian di Pulau Indah, Klang serta Johor, namun masih menunggu tawaran terbaik.
Mengulas mengenai kemungkinan kajian semula cukai gula, Syed Feizal menjelaskan perkara itu ada disebut oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini, namun beliau berpandangan sebarang perubahan tidak akan memberi impak ketara kepada Kumpulan.
“Cukai ini hanya melibatkan sektor minuman barangan pengguna cepat laris dan setelah penilaian dibuat, ia hanya melibatkan kurang 12 peratus daripada asas pelanggan kami,” katanya.