SHAH ALAM – Seorang penyangak jutawan, Datuk Ken yang ditangkap sebelum ini selepas didapati terlibat dalam perjudian online, perlombongan bitcoin dan syarikat pinjaman wang tanpa lesen akan didakwa di Mahkamah Shah Alam, di sini esok.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, lelaki berumur 40 tahun itu akan didakwa bersama isterinya selepas mendapat kebenaran daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah pertuduhan pendakwaan itu.
Berita berkaitan: Penyangak sindiket ‘Datuk Ken’ tumpas
“Ya (akan didakwa),” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! pada 17 Ogos lalu melaporkan seorang ahli perniagaan dikenali Datuk Ken hidup mewah hasil aktiviti jenayah selama tujuh tahun sehingga memiliki aset bernilai jutaan ringgit berjaya dibongkar pihak polis baru-baru ini.
Dia yang merupakan ketua sindiket dipercayai menjalankan kegiatan perjudian online, perlombongan mata wang bitcoin dan syarikat pinjaman wang tanpa lesen atau ceti haram secara berperingkat sejak 2014.
Berita berkaitan: Dua orang kanan ‘Datuk Ken’ diburu
Hasil aktiviti haram tersebut, suspek berjaya memiliki 14 buah kenderaan mewah antaranya Lamborghini Huracan, BMW i8, Nissan GT-R dan Porsche Cayman selain 14 unit rumah banglo.
Kelicikan ketua sindiket itu terbongkar selepas dia bersama isterinya berusia 41 tahun ditahan dalam operasi khas di sebuah rumah di Rawang, Selangor pada 11 Ogos lalu.
Malah, Arjunadi sebelum ini turut menegaskan bahawa gelaran darjah kebesaran Datuk yang digunakan ketua penyangak itu hanya sekadar bagi menunjukkan imej gah dan berkuasa.
“Setakat kita periksa, memang tiada penerimaan darjah itu sebaliknya itu gelaran dipanggil oleh kumpulan sindiket itu. Ia juga hanya bagi mengaburi pihak-pihak tertentu,” jelas Arjunadi.