fbpx

Penternak patin Sungai Pahang sertai konsortium atasi masalah pasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nazimi Mohd. Rodzi, 37, (kiri) menunjukan ikan patin yang melebihi satu kilogram yang tidak dapat dijual akibat kekurangan permintaan di Temerloh baru-baru ini.

BENTONG – Penternak ikan patin sangkar di Sungai Pahang termasuk di Temerloh yang mengalami masalah pasaran perlu menyertai Konsortium Penternakan Ikan Patin Sungai Pahang dalam usaha mengatasi isu lambakan ikan sungai berkenaan.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, penyertaan dalam konsortium berkenaan dapat menjamin pasaran ikan patin seterusnya mengelakkan penternak mengalami kerugian akibat ikan matang tidak dapat dijual.

“Pada masa ini terdapat Konsortium Penternakan Ikan Patin Sungai Pahang yang mempunyai 2,500 orang ahli dan mereka tidak mengalami masalah lambakan ikan yang tidak terjual walaupun dalam berhadapan pandemik Covid-19.

“Jadi saya mencadangkan agar penternak ikan patin di Sungai Pahang menjadi ahli konsortium ini agar mereka lebih terbela dan tidak menghadapi masalah pemasaran ikan,”katanya dalam sidang akhbar pada Mesyuarat Agong Angkasa Pahang Barat di sini semalam.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan ramai penternak ikan patin sangkar di Temerloh yang terkenal dengan ikan patin pening kepala memikirkan cara untuk mencari pelanggan ekoran kurang permintaan daripada pengusaha restoran sedangkan bekalan ikan itu semakin berlambak.

Akibat banyak kedai makan yang tidak beroperasi sepenuhnya menyaksikan ada penternak yang biasanya mampu menjual purata 200 ekor sehari kini hanya mampu menjual 20 ekor ikan patin.

Berdasarkan data 2020 terdapat sebanyak 1,673 penternak ikan sangkar di seluruh negeri dengan 34 peratus daripadanya iaitu 563 orang penternak adalah di Temerloh yang merekodkan 4,096 unit sangkar ikan.

Dalam pada itu Abdul Fattah memberitahu Konsortium Penternakan Ikan Patin Sungai Pahang yang ditubuhkan pada 2017 kini disertai sembilan buah koperasi dengan keseluruhan keahlian sebanyak 2,500 orang.

“Penternak ikan patin di Temerloh boleh pergi ke pejabat Angkasa di daerah itu untuk mendaftar sebagai ahli konsortium bagi membolehkan mereka mendapat bantuan dan sebagainya.

“Selain membantu daripada daripada segi pemasaran, penyertaan dalam konsortium membolehkan pelbagai bantuan dan insentif disalurkan kepada penternak termasuklah dalam mendapatkan benih dan makanan ikan dengan harga berpatutan,”ujarnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI