JOHOR BAHRU – Penolong Ketua Kampung, Mazlan Sulor, 58, mendedahkan kejadian pencemaran di Sungai Tawakal di Kampung Baru Sri Aman, di sini bukanlah pertama kali berlaku tetapi merupakan yang terburuk sejak lebih 20 tahun lalu.
Mazlan memberitahu, sebelum ini Sungai Tawakal pernah juga dikesan dicemari namun tidaklah sebegitu teruk dan sehingga mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
Katanya, pembuangan sisa toksik dipercayai bahan buangan industri terjadual dalam kadar yang banyak menyebabkan penduduk sesak nafas selain banyak hidupan akuatik yang mati.
“Sejak 28 tahun saya menetap di kampung ini, insiden pencemaran kimia yang berlaku pada malam Selasa lalu adalah yang terburuk dan di luar jangkaan.
“Sebelum ini kita memang lihat ada perubahan pada tali air yang mengalir di kampung ini dan ia semakin menjadi-jadi sejak awal tahun ini. Kita dapati ia dicemari namun tidaklah hingga menyebabkan ikan mati.
“Ada juga penduduk di sini mengadu lembu ternakan mereka sakit mungkin dipercayai akibat daripada minum dari sumber tali air dan sungai di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Sri Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kejadian pencemaran air itu semakin berleluasa dipercayai kerana kurangnya kawalan oleh jawatankuasa penduduk yang tidak dapat membuat rondaan sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana.
Insiden pencemaran yang berlaku Selasa lalu menyaksikan sebanyak 73 keluarga diminta berpindah sementara bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929