fbpx

Melaka larang guru agama antivaksin mengajar di masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Halim ketika ditemui pemberita hari ini.

MELAKA – Melaka melarang semua guru agama serta guru takmir dan pengkuliah di negeri ini mengajar atau mengadakan kelas ilmiah secara bersemuka di masjid sekiranya tidak mengambil suntikan lengkap vaksin Covid-19.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu telah dimuktamadkan di dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Covid Melaka, pada minggu lalu.

Jelasnya, setakat ini Melaka mempunyai seramai 1,300 guru agama bertauliah dengan kira-kira 600 masih aktif mengajar di masjid dan surau di seluruh negeri ini.

“Hasil perbincangan dalam mesyuarat Jawatankuasa Covid negeri, kita memutuskan tidak membenarkan semua guru agama termasuk guru al-Quran, pengkuliah kursus, pengkuliah mingguan atau guru takmir yang tidak mengambil suntikan vaksin mengajar secara bersemuka di masjid.

“Setakat ini Melaka mempunyai anggaran seramai 500-600 guru agama yang aktif mengajar di masjid atau surau dan kita akan minta lembaga masjid menyemak rekod vaksinasi mereka melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Penyerahan Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Kotak Makanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dan Penasihat Agama Ketua Menteri, Datuk Kamarudin Sidek.

Tambahnya, pihaknya kini sedang mengenal pasti sekiranya terdapat guru agama yang enggan mengambil suntikan vaksin dan penilaian untuk tindakan susulan akan dibuat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kepentingan golongan guru itu mempunyai pandangan yang mampu memberi kesan serta mempengaruhi pelajar atau anak murid.

“Guru-guru, pemegang tauliah atau guru takmir inilah yang menjadi contoh dan ikutan masyarakat.

“Jadi, saya berasa bimbang sekiranya ada di antara guru agama ini tergolong dalam kumpulan antivaksin dan kerana itu juga kita mensyaratkan semua pengerusi lembaga masjid serta surau, untuk mendapatkan maklumat guru-guru yang mengajar,” katanya.

Tambahnya, perkara tersebut turut terpakai kepada semua ahli jawatankuasa masjid yang lain termasuk pegawai masjid, imam, bilal dan noja untuk menjalankan tugas masing-masing.

Ujarnya, kini kerajaan negeri juga telah menyediakan kemudahan vaksinasi secara terus (walk-in) di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sekali gus alasan masih menunggu janji temu atau kesukaran mendapatkan vaksin tidak boleh diterima.

“Guru agama yang terlibat boleh menunjukkan bahawa mereka telah didaftarkan atau telah mendapakan vaksin yang pertama dan sebagainya,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI