PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah merangka Peraturan Tetap Operasi (SOP) dan mengenal pasti Pusat Kuarantin Pekerja Asing berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang boleh menampung seramai 2,000 pekerja pada satu-satu masa.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia selaras dengan keputusan Jemaah Menteri untuk membenarkan kemasukan 32,000 pekerja asing di sektor perladangan secara pengecualian khas.
“Ini adalah sebagai persediaan bagi pengambilan pekerja asing dari negara sumber sekiranya terdapat keperluan mendesak.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 12 September berhubung kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan termasuk kelapa sawit,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Saravanan berkata, kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan menimbulkan risiko kerugian pendapatan negara yang dianggarkan berjumlah RM20 bilion setahun terutamanya kepada sektor kelapa sawit.
“Dalam hal ini, KSM sememangnya menggalakkan kekosongan tersebut diisi oleh pekerja tempatan tetapi tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Justeru, kekosongan tersebut perlu ditampung oleh tenaga buruh asing,” jelasnya.
Kosmo! Online pada 12 September melaporkan, isu kekurangan buruh asing bagi sektor perladangan akan diselesaikan dalam tempoh tiga minggu bagi mengelak industri kelapa sawit negara berdepan masalah lebih besar.
Mustapa dilaporkan berkata, isu berkenaan sudah dibangkitkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 September lalu, malah turut mendapat perhatian serius Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM). -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929