fbpx

Kematian Covid : Perkeso Melaka bayar lebih RM160,000 pada waris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Razak menyampaikan pencen penakat kepada salah sebuah keluarga waris pencarum yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Masjid Tanah, di sini, hari ini.

ALOR GAJAH – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka membayar lebih RM160,000 pencen penakat membabitkan kes kematian akibat Covid-19 dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

Pengarah Perkeso Melaka, Abd. Razak Omar berkata, pihaknya merekodkan jumlah bayaran keseluruhan penakat sebanyak RM332,117.76 sejak awal tahun sehingga Ogos lalu.

Jelasnya, lebih separuh daripada jumlah tersebut merupakan bayaran kepada waris pencarum yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Dalam tempoh lapan bulan, Perkeso telah menyelesaikan sebanyak 258 kes penakat dengan lebih separuh membabitkan kes Covid-19.

“Jumlah keseluruhan bayaran penakat dibuat adalah RM332,117.76, jadi lebih RM160,000 telah diserahkan kepada ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat wabak tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan pencen penakat di Masjid Tanah, hari ini.

Tambahnya, jumlah bayaran penakat dibuat setelah semua syarat pencaruman dipenuhi termasuklah pencarum meninggal dunia pada usia 60 tahun ke bawah.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa mana-mana individu yang bekerja sendiri mengambil peluang membuat caruman dibawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS).

“Pada waktu pandemik ini, kita susah menjangkakan berlaku perkara tidak diingini termasuk kematian akibat Covid-19.

“Jadi, saya nasihatkan semua individu mengambil peluang mencarum di bawah SPS di mana dua per tiga daripada bayaran telah disubsidi kerajaan dan pencarum hanya perlu membayar bakinya serendah RM13.10 untuk setiap bulan.

“Tidak kiralah suri rumah yang berniaga secara dalam talian mahupun menjual kuih-muih di tepi jalan, buatlah caruman demi kepentingan masa hadapan,” katanya.

Ujarnya, pihaknya turut mengingatkan pencarum untuk sentiasa menyemak jumlah caruman dibuat majikan dan sekiranya berlaku culas, aduan boleh dibuat terus ke pejabat Perkeso negeri untuk tindakan mengikut Seksyen 94 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1994. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI