Oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
SEREMBAN – Sempena sambutan Hari Malaysia dan cuti umum hari ini, pelbagai aktiviti diadakan bagi meraikannya dan seperti di Nilai dekat sini, program kayuhan basikal klasik turut diadakan.
Program berkenaan dianjurkan oleh Kelab Basikal Tuo Soghomban (KBTS) dan ia merupakan acara tahunan kelab tersebut setiap kali tiba Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Pengerusi KBTS, Mohd. Ariff Bidin berkata, seramai 50 orang menyertai program tersebut dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan melalui beberapa lokasi di sekitar pekan Nilai.
“Setiap kali tiba Hari Malaysia kami akan mengadakan acara kayuhan basikal, selain mengeratkan hubungan di antara ahli program ini turut bertujuan supaya ahli menghargai sejarah negara menerusi lokasi-lokasi yang kami singgah menerusi program ini.
“Hari ini kami berkayuh hampir 15 kilometer melalui pekan lama Nilai dan singgah di beberapa buah masjid lama dan Tugu Merdeka di Kampung Sungai Sekah, Nilai,” katanya kepada pemberita hari ini.
Program yang turut mendapat kerjasama daripada Ahli Jawatankuasa Penduduk Taman Nilai Perdana itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar.
“Kebiasannya program ini turut disertai oleh kelab-kelab basikal klasik dan antik termasuk dari luar Negeri Sembilan namun kali ini kami anjurkan di peringkat dalaman sahaja,” kata Mohd. Ariff lagi. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929