fbpx

Kad merah Wan-Bissaka punca Young Boys menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain Young Boys meraikan kejayaan mereka mencatat kemenangan dramatik ke atas United dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam. – AFP

BERN, Switzerland – Ke­tua jurulatih Young Boys, David Wagner bersorak sakan selepas melakar kemenangan sensasi ke atas gergasi England, Manchester United dengan keputusan 2-1 pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara di Stade de Suisse awal pagi semalam.

Tuan rumah mengutip tiga mata penuh selepas Theoson Siebatcheu meledak gol kemena­ngan pada masa kecederaan untuk mengecewakan The Red De­vils yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam aksi itu.

Kata Wagner, pengadil membuat keputusan tepat melayangkan kad merah kepada tonggak pertahanan United, Aaron Wan-Bissaka sekali gus memberikan kelebihan besar buat mereka.

“Saya lihat kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan positif untuk meraih tiga mata. Sudah tentu apabila pasukan lawan terpaksa beraksi dengan 10 pemain, ia sememangnya memberikan tekanan kepada mereka dan kami menggunakan kesempatan itu sebaiknya.

“Pujian harus diberikan kepada semua pemain kami yang bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk anda bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum mencatat kemenangan 2-1 ke atas United,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah Young Boys, Christian Fassnacht bagaikan tidak percaya mereka berjaya menumbangkan United dan berharap keputusan itu mampu menjadi pemangkin semangat untuk lebih cemerlang dalam baki lima aksi Kumpulan F nanti.

“Saya percaya kemenangan ini telah membuktikan apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak kerana tiada keputusan yang mustahil untuk direkodkan.

“Apa yang penting, kami mula yakin jika momentum seperti ini boleh diteruskan, tidak mustahil untuk kami meraih kedudukan positif apabila tamat saingan peringkat kumpulan nanti,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI