fbpx

Impian LANY, mahu sehebat Coldplay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN LANY

KUMPULAN asal Los Angeles, Amerika Syarikat, LANY muncul dengan album studio terbaharu berjudul gg bb xx yang diluncurkan pada 3 September lalu.

Masih setia dianggotai tiga orang pemuzik berbakat, Paul Jason Klein, Charles Leslie “Les” Priest dan Jake Clifford Goss, ramai dalam kalangan peminat kagum dengan hasil kerja mereka kali ini.

Kalau pada awal kemunculan dahulu, kelompok peminat kumpulan ini lebih tertumpu kepada golongan kanak-kanak dan remaja, sekarang, selaras dengan kematangan muzik yang kian ditonjolkan, golongan orang dewasa pun tidak kurang meminati mereka.

PAUL, Charles dan Jake memasang impian untuk berkolaborasi dengan Ed Sheeran dan The Chainsmokers

Nak jadi band terhebat dunia

Paul ketika ditemu bual para media Asia Tenggara secara maya minggu lalu memberitahu, LANY memasang harapan untuk menjadi band paling hebat dalam dunia.

Untuk menggapai impian tersebut, mereka perlu menceduk banyak ilmu daripada kumpulan-kumpulan muzik klasik dan bertaraf legenda. Perkara tersebut bukan juga sesuatu yang mustahil dilaksanakan suatu hari nanti.

“Barangkali, Coldplay dan Phil Collins. Saya kalau berkesempatan bekerja dengan Chris Martin mungkin saya takkan berhenti merenungnya.

“Saya tak pernah jumpa dia. Saya sangat-sangat mengidolakan Chris Martin. Dia buat piano menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan hebat berbanding daripada fungsi asal. Dia (Chris) macam tuhan kepada saya,” ujar Paul.

ALBUM gg bb xx mengajak peminat untuk menyingkap asal usul kumpulan LANY yang dibentuk daripada pengaruh kota Los Angeles dan New York.

Selain bercakap tentang inspirasi pembikinan gg bb xx, Paul juga ditebak persoalan tentang konsert jelajah bersama Keshi, seorang penyanyi muda yang kian meraih perhatian di Hollywood, sekali gus membuahkan desas-desus bahawa mereka akan ada kerjasama tidak lama lagi.

“Saya mula mendengar muzik dia (Keshi) melalui Discover Weekly dalam Spotify. Waktu itu, saya sedang berbaring atas kerusi di rumah pengurus saya dan lagunya, Too Soon dimainkan.

“Sebuah karya yang baik dan saya mendengarinya berulang-ulang kali. Saya muat naik dalam media sosial dan dia mengucapkan terima kasih kepada saya.

“Dipendekkan cerita, beberapa bulan selepas itu, dia tanya sama ada kami boleh tulis lagu bersama dan perkara itu berlaku. Dia sesungguhnya kawan yang sangat baik dan saya rasa, dia boleh jadi individu yang hebat untuk beri sokongan sewaktu konsert jelajah,” kata Paul.

SEIRING hayat kerjaya, muzik LANY juga semakin menunjukkan kematangan dan itu ditonjolkan menerusi gg bb xx.

Idam Ed Sheeran, The Chainsmokers

Ditanya, siapakah artis yang sememangnya menjadi idaman LANY untuk diajak berkolaboratif, jawab Paul: “Saya nak sangat buat lagu dengan Ed Sheeran. Lagi satu, ini mungkin kedengaran baharu tapi saya juga nak buat lagu dengan The Chainsmokers.

“Saya percaya kolaborasi itu akan jadi besar dan saya sudah pernah bertemu mereka beberapa kali dan mereka memang manusia yang paling baik.

“Seronok kalau dapat buat lagu pop melodi yang besar!.”

Album gg bb xx mempelawa penjunjung muzik LANY untuk kembali semula ke akar muzik dan naratif asal usul mereka sebagai sebuah band yang dibentuk daripada gabungan pengaruh Los Angeles dan New York.

Untuk khalayak yang belum tahu, nama LANY adalah gabungan awalan Los Angeles dan New York.

“Kami membawa peminat sama-sama pulang ke tempat asal. Kami juga tunjukkkan apa yang telah ditinggalkan dahulu dan sebab mengapa kami tinggalkan.

ALBUM gg bb xx yang memuatkan 12 buah trek baharu kini mula mencuri perhatian pendengar global.

Tak banyak beza

“Satu hari nanti, kita akan berasakan bahawa kita tidak lagi perlukan kelulusan atau kasih sayang daripada orang lain untuk mengasihi diri sendiri serta berasa bangga terhadap diri sendiri.

“Kami masih belajar tapi kami yakin akan sampai ke tahap itu satu hari nanti,” ujar Paul.

Melanjutkan bicara, Paul berkata, tidak banyak perubahan atau perbezaan ketara antara album terkini dan yang lama.

“Dari segi lirik, saya obses memperdengarkan kepada anda dan menjadi alat keluli tentang apa yang berlaku di sekeliling saya, termasuk memahami dinamika sosial.

“Sekarang, saya sedang ingin bertemu jalan baharu untuk memberi deskripsi dan menerangkan perasaan universal dan topik-topik berkaitan,” tutur Paul menggulung perbualan.

PAUL berkata, tidak banyak perubahan atau perbezaan ketara antara album terkini dan yang lama.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI