PETALING JAYA – “Tak faham kenapa semua sibuk nak pergi Langkawi. Hari ini dibenarkan, hari ini juga nak pergi.”
Itu antara luahan selebriti versatil, Nabila Huda selepas melihat ramai yang mula menjejakkan kaki untuk bercuti ke Pulau Langkawi, Kedah bermula hari ini.
Menerusi beberapa ciapan Twitter, pemilik nama lengkap Nabila Huda Suhaimi itu mempersoalkan mengapa ramai yang terburu-buru untuk bercuti ke Pulang Langkawi hari ini.
“Tidak berapa faham kenapa semua sibuk nak pergi Langkawi. Hari ini boleh pergi, hari ini juga semua nak pergi.
“Tak boleh tunggu minggu depan atau bulan depan? Tetap nak jugak hari ni. Kenapa ya?” soal aktres berusia 37 tahun itu.
Tambah pelakon drama, dia juga menyamakan situasi hari ini seperti kejadian apabila lokasi rekreasi air terjun dipenuhi orang ramai baru-baru ini.
“Hari itu semasa dibenarkan rentas daerah, semua jugak pergi sungai. Waktu itu juga semua nak ke sana dan sesak terus keadaan di sungai.
“Sama juga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, semua nak pergi ke pasaraya, pembelian panik,” luahnya lagi.
Ujar pelakon filem M4M4 itu, dia juga pelik dengan sikap sesetengah manusia yang suka terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara selepas diberikan kebenaran.
“Adakah sebenarnya manusia memang begini? Semua jenis tidak boleh bersabar dan Ke sebenarnya manusia memang macam ni?
“Jenis yang tidak berfikir tentang melepaskan orang lain dulu. Memang jenis, hari itu diumumkan dan waktu itu juga nak kena pergi?” ciap pengacara Melodi itu.
Hari ini, Kosmo! melaporkan pelakon terkenal Nora Danish bersama suami dan anak bongsunya selamat tiba bercuti di Pulau Langkawi.
Untuk rekod, inisiatif gelembung pelancongan di Langkawi yang bermula hari ini bakal dijadikan penanda aras supaya lebih banyak destinasi pelancongan dalam negara dibuka. – K! ONLINE